PEMAJU hartanah tempatan, City Motors Group dan Bina Warehouse mengumumkan perkongsian rasmi mereka bagi menambah nilai pengalaman mewah melalui projek pembangunan berprestijnya, Alfa Bangsar.
Kerjasama antara dua syarikat terkemuka itu adalah bukti dedikasi bersama untuk memberi yang terbaik dan dengan menggabungkan kepakaran masing-masing, kedua-dua syarikat bersedia meningkatkan taraf hidup penduduk Alfa Bangsar, menawarkan produk serta perkhidmatan premium yang melambangkan kecanggihan dan gaya hidup terkini.
Ketua Pegawai Eksekutif City Motors Group, Terence Chia berkata, pihaknya terus komited memberi kediaman berkualiti dan kepuasan yang tiada tandingan kepada pelanggannya.
“Kami sangat teruja untuk mengumumkan perkongsian ini secara rasmi dengan Bina Warehouse.
“Proses pemilihan kami yang teliti memastikan bahawa hanya rakan kongsi terbaik dipilih untuk menyumbang kepada pengalaman Alfa Bangsar.
“Kami berdedikasi memberi yang terbaik menjangkaui jangkaan, sekali gus menetapkan standard kemewahan baru kediaman di tengah bandar,” katanya.
Melalui perkongsian strategik ini, Bina Warehouse akan menyediakan kelengkapan bilik mandi, dapur (faucet) dan kebersihan terbaik untuk setiap unit dalam kondominium mewah itu yang menampilkan ciri kemewahan dan keselesaan Alfa Bangsar.
Sementara itu, Eksekutif Pemasaran Bina Warehouse, Arvind Badsha berkata, pihaknya berbesar hati menjadi sebahagian daripada projek Alfa Bangsar, Alfa Bangsar, pembangunan ikonik pegangan bebas di lokasi utama Kuala Lumpur.
“Visi kecemerlangan kami yang dikongsi bersama adalah untuk memastikan penduduk Alfa Bangsar akan terus menikmati produk dan perkhidmatan terbaik yang ditawarkan, seterusnya meningkatkan gaya hidup penghuni,” katanya.
Projek mewah Alfa Bangsar merangkumi 178 unit pangsapuri servis di aras 19 hingga 42 dengan lima jenis saiz pilihan bermula dari 570 sehingga 997 kaki persegi.
Penghuni pangsapuri servisnya akan menikmati pelbagai kemudahan, termasuk ‘sky park’ di aras 38, bilik serba guna, pusat kecergasan, kolam renang, kawasan barbeku dan taman permainan kanak-kanak selain kelengkapan kediaman seperti mesin basuh, pendingin hawa dan kabinet dapur.
Source: https://www.hmetro.com.my/bisnes/2024/03/1070558/kondo-canggih-servis-premium